Posted by: abcdyg | December 13, 2009

Lori tangki minyak rempuh rumah, 3 maut

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat berusaha memadamkan kebakaran membabitkan lori tangki minyak terbabas dan meletup di sebuah rumah di Kampung Ulu Klawang, Jalan Seremban-Jelebu, semalam.

KUALA KLAWANG: Dua beradik rentung selepas rumah mereka hangus terbakar akibat dirempuh sebuah lori tangki minyak yang terbabas sebelum meletup di Kampung Ulu Klawang, Batu 18 Jalan Seremban-Jelebu, dekat sini semalam.

Mayat Mohd Hafiz Hanapiah, 7, dan kakaknya, Anisah, 15, ditemui dalam keadaan bertindih, manakala pemandu lori, Samsulkahar Bahudin, 36, berasal dari Melaka, turut terbunuh dalam kejadian kira-kira jam 8.39 pagi itu.

Ketua Polis Jelebu, Deputi Superintendan Setapa Yusuf, berkata siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai berlaku akibat lori yang dalam perjalanan dari Port Dickson menuju ke Kuala Klawang bagi menghantar bekalan minyak, hilang kawalan ketika menuruni Bukit Tangga.

“Kejadian itu menyebabkan lori berkenaan merempuh sebuah kereta Mercedes Benz yang diletakkan di tepi jalan berkenaan sebelum terjunam di cerun setinggi empat meter lalu merempuh rumah dua beradik malang itu.

“Kejadian itu mengakibatkan letupan dan kebakaran yang mana lori itu betul-betul terbalik di dalam rumah menyebabkan sebuah kereta jenis Proton dipercayai milik ibu adik beradik malang itu turut terbakar,” katanya.

Setapa berkata, polis masih menjalankan siasatan mengenai punca kejadian, manakala semua mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Jelebu untuk bedah siasat.

Ketua Balai Bomba Jelebu, Adzhar Che Onn, berkata kejadian itu menyebabkan dua beradik itu rentung, manakala pemandu lori terbabit ditemui meninggal dunia dengan 60 peratus kesan terbakar pada tubuhnya.

Beliau berkata, mayat pemandu lori itu ditemui di luar rumah berhampiran pagar dipercayai cuba menyelamatkan diri sebelum rebah pada jam 9 pagi, manakala mayat dua beradik itu ditemui dalam keadaan bertindih pada jam 10.20 pagi.

“Seramai 15 anggota bomba dan penyelamat dari Jelebu dan Seremban dapat memadamkan kebakaran dalam tempoh sejam,” katanya.

Ibu dua beradik itu, Mariani Cembeng, 45 yang ditemui mengakui hatinya berdebar selepas melihat jentera bomba, ambulans dan polis menghala ke rumahnya ketika beliau dalam perjalanan pulang ke rumah sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu.

“Ketika kejadian saya tiada di rumah kerana mengikuti kursus keusahawanan di Kuala Klawang sebelum diberitahu seorang rakan yang turut mengikuti kursus itu mengenai kejadian berkenaan,” kata ibu tunggal itu.

Difahamkan, kejadian itu adalah yang kedua rumah itu dirempuh kenderaan berat selepas kejadian pertama kira-kira lima bulan lalu apabila sebuah lori muatan getah terbabas merempuh dapur rumahnya.

Mariani yang kematian suami, mempunyai empat anak dengan dua daripadanya sudah bekerja dan masih melanjutkan pelajaran, manakala dua beradik malang itu tinggal bersamanya di rumah berkenaan.

Sementara itu, seorang jiran keluarga malang itu, Azuman Abu Bakar, 35, memberitahu, dia sedang tidur di rumah apabila mendengar jeritan ibunya.

“Rumah Maria terbakar, rumah Maria terbakar,” katanya.

Api naik setinggi pokok kelapa dan ada letupan menyebabkan orang kampung tidak dapat menghampiri rumah itu, kata Azuman.


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Categories

%d bloggers like this: