Posted by: abcdyg | December 12, 2009

Mawi mahu berhenti nyanyi?

MAWI (tengah) menjawab pertanyaan media pada sidang media Malam Amal Hidayah di ibu negara, baru-baru ini.

KELIBATNYA di pentas nyanyian ketika ini dilihat ramai pihak seperti tidak meriah sewaktu detik-detik awal kemunculannya satu ketika dahulu.

Lahir menerusi program realiti Akademi Fantasia musim ketiga (AF3), ada juga yang mula membuat telahan bahawa kariernya selaku penyanyi sudah semakin merundum.

Ditambah dengan kehadiran artis-artis baru serta penaklukan band-band indie di lapangan muzik tanah air, ia secara tidak langsung bagai ‘menghanyutkan’ namanya dari lembah kerancakan muzik tempatan.

Tidak cukup dengan itu, minatnya yang kini lebih terarah kepada penerbitan rancangan televisyen tidak terlepas daripada diperkata orang bahawa ia sebagai alasan untuk jejaka berusia 28 tahun ini melupakan bidang nyanyian.

Mungkin kecewa dengan sambutan peminat terhadap lagu atau album, namun pemilik diri bernama Asmawi Ani atau Mawi,dia mengakui masih aktif menyanyi biar kini sibuk di belakang tabir.

Menubuhkan Mawi World Entertainment (MWE) Sdn. Bhd., melalui MWE, Mawi bagaimanapun berkata, karier hidupnya pada waktu ini lebih kepada bidang penerbitan.

“Saya masih tetap menyanyi dan menghasilkan lirik. Malah, saya juga sedang dalam proses untuk menubuhkan sebuah studio rakaman di Wangsa Maju.

“Kalau sudah ada studio rakaman, aktiviti nyanyian saya akan diteruskan. Dan, dengan tertubuhnya studio rakaman itu, mungkin saya akan memiliki artis sendiri yang bernaung di bawah MWE.

“Bukan sahaja penyanyi, mungkin satu hari nanti akan ada pelakon atau pelawak juga di bawah MWE,” katanya ketika ditemui pada sidang media penganjuran Malam Amal Hidayah oleh Puteri Group of Companies (PGOC) di ibu pejabat PGOC di ibu negara, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Kumpulan Korporat, Sumber Manusia dan Pentadbiran PGOC, Hazleen Ismail serta Pengurus Bahagian Pengurusan Kontrak PGOC, Ahmad Zohry Mohamed Dris.

Malam Amal Hidayah yang bakal diadakan pada 9 Januari depan di Grand Ballroom, Mandarin Oriental, Kuala Lumpur akan menampilkan Mawi, M. Nasir dan artis baru, Shazroul untuk memeriahkan malam tersebut.

Ia akan diserikan dengan kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Malam Amal Hidayah bermatlamat untuk mengumpul dana yang akan disalurkan kepada beberapa badan kebajikan iaitu Madrasah Al-Yamani, Kampung Bharu yang memerlukan sumbangan untuk pembinaan sebuah asrama perempuan.

Badan kebajikan lain ialah Maahad Tahfiz al-Quran Wal Qiraat Addin, Padang Rengas, Kuala Kangsar, Perak (pembinaan surau); Ribath Pulau Manis, Kuala Terengganu (pembinaan asrama pelajar); dan Akademi Tahfiz Al-Hidayah, Jalan Gurney, Kuala Lumpur bagi membaikpulih asrama pelajar lelaki serta perempuan.

Tubuh studio rakaman

Mengulas lanjut, ujar Mawi, selain sedang rancak untuk menubuhkan studio rakaman, MWE juga memfokus kepada penerbitan drama dan telemovie.

“Telemovie pertama terbitan MWE ialah Rumah Baru Bini Baru yang ditayangkan pada Aidilfitri lalu. MWE juga telah menerbitkan Langkah Mawi World 2 sebanyak 13 episod.

“Semuanya sudah selesai menjalani penggambaran antaranya di Melbourne, Sri Lanka dan Hong Kong,” jelasnya.

Menurut suami kepada pelakon Ekin ini, selepas telemovie dan Langkah Mawi World 2, MWE kini dalam proses menerbitkan sebuah lagi telemovie berjudul Jiwa Kacau.

Dugaan

Berlakon dan bertindak sebagai pengarah bersama, Jiwa Kacau kata Mawi, mengisahkan perjuangan seorang penagih dadah yang nekad untuk berhenti menjadi penagih.

“Macam-macam dugaan yang bakal dihadapinya. Saya juga turut berlakon tetapi sebagai bintang undangan sahaja,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mawi yang diajak berbicara tentang Malam Amal Hidayah berkata, apa yang ditunjukkan penganjur seharusnya diberikan pujian kerana tampil untuk bersama dalam kerja-kerja sosial.

“Di malam amal itu nanti, saya akan mendendangkan tiga buah lagu yang bersesuaian. Akan ada juga lagu duet saya bersama M. Nasir,” katanya.

Kerja kebajikan

Sementara itu, menurut Hazleen, Malam Amal Hidayah merupakan salah satu wawasan PGOC untuk mendekati masyarakat dan bersama dalam menghulurkan bantuan kepada pihak memerlukan.

Katanya, pemilihan badan kebajikan untuk dihulurkan sumbangan melalui Malam Amal Hidayah dilakukan selepas menilai keperluan badan berkenaan.

“Jika ada rezeki, kita akan meluaskan sumbangan kepada badan kebajikan lain pula. Justeru, PGOC amat berharap agar akan ada golongan korporat, individu dan masyarakat yang tampil untuk memberikan sumbangan,” jelasnya.

Bagi mereka yang mahu menghulurkan sumbangan, ia boleh dilakukan dengan mendapatkan borang sumbangan daripada pihak PGOC yang beralamat di Unit E-6-1, Blok E, Megan Avenue 1, No. 189, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur atau hubungi talian 03-21612382.

Selain derma tunai, sumbangan juga boleh disalurkan dalam bentuk tajaan meja makan iaitu Kategori A (meja makan VIP – RM10,000 satu meja); Kategori B (meja makan tetamu – RM5,000 satu meja) dan Kategori C (tajaan bersama – RM500 satu tempat duduk).

PGOC merupakan kumpulan syarikat yang terlibat dalam pelbagai aktiviti dalam bidang industri perkapalan termasuk pembinaan, sewaan dan operasi kapal, broker perkapalan dan penyediaan krew untuk pengurusan projek lepas pantai (offshore) industri minyak serta gas.


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Categories

%d bloggers like this: